Kenduri Sekampung Kariah Masjid As-Shariff, Dengkil

Assalamualaikum WBT,

Sepakat membawa berkat.

Bukan mudah untuk melaksanakannya, tetapi bagi kariah  Masjid As-Shariff, Kg. Dato Ahmad Razali, Dengkil, ia ibarat alah bisa tegal biasa.

‘Kenduri Sekampung’ yang diadakan tahun ini , seperti tahun-tahun sebelumnya, menyatukan penduduk kampung  dengan mengadakan kenduri secara serentak tanpa perlu mengeluarkan belanja berlebihan disamping untuk mengelakkan berlakunya pertindihan masa.

Ia merupakan antara  acara tahunan masjid yang mengumpulkan sumbangan seluruh penduduk kariah untuk mengadakan kenduri beramai-ramai di bulan Syaaban

Seawal 8 pagi, kira-kira 100 penduduk mula bergotong royong dengan tugasan diberikan kepada mereka mengikut kepakaran masing-masing.

Perkataan kenduri itu sendiri membawa kepada pengertian makan beramai-ramai, maka apa yang dimasak itu juga dilakukan beramai-ramai.

Dan untuk itu, seekor lembu dan 2 ekor kambing ditumbangkan untuk dijadikan lauk pauk pelbagai jenis.

Jam 11 pagi, melalui Program Jelajah Janji Ditepati, kampung ini bertuah kerana terpilih salah satu destinasi persinggahan dari kumpulan Media Prima yang turut merakamkan senario  ‘Kenduri Sekampung’ ini.

Penerangan mengenai Program Jelajah Janji Ditepati disampaikan kepada penduduk melalui edaran risalah, selain dari pemberian kemeja-T.

Dan bagi merasai pengalaman sebenar ‘Kenduri Sekampung’ ini, mereka turut serta bergotong-royong bersama penduduk.

Bagi Sawi ‘Apa Celop’ (Tai) pula, kehadirannya mampu lebih menceriakan suasana yang memang telah riuh-rendah  dengan mereka yang bertungkus lumus menyediakan masakan.

Hasil dari permuafakatan dan gotong royong ini, keseluruhannya 12 menu makanan berjaya disiapkan bermula untuk makan tengahari sehingga makan malam iaitu kemuncak ‘Kenduri Sekampung’

Selesai solat maghrib, jemaah kemudian menunaikan solat sunat hajat dan seterusnya membaca surah Yassin, tahlil dan doa.

Dan sebagai kemuncaknya, selepas solat fardhu isyak, ‘Kenduri Sekampung’ sama-sama diraikan kira-kira 300 penduduk kampung.

Yang nyata, inilah hasil dari ‘sepakat membawa berkat’ dengan mensyukuri segala nikmat yang Allah berikan kepada hambaNya.

Bagi seluruh AJK Masjid, ucapan terimakasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat samada secara langsung atau tidak dalam menjayakan ‘Kenduri Sekampung kali ini.

Gunung Daik bukan di Dengkil

Ikan dikail di dalam perigi

Kalau kami jemput memanggil

Kenduri Sekampung kita raikan lagi

This entry was posted in Kemasyarakatan. Bookmark the permalink.

2 Responses to Kenduri Sekampung Kariah Masjid As-Shariff, Dengkil

  1. titan says:

    wahh..bestnya..dekat dah tu dengan banting..
    titan recently posted..Eyriqazz vs Denaihati – Part 7My Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge