Murid sekolah dengan telefon bimbit

Assalamualaikum WBT,

Semua pelajar berkemungkinan akan dibenarkan untuk membawa telefon bimbit ke sekolah pada tahun depan. Ini sekaligus menyebabkan pekeliling yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran pada Mac 2009 terbatal secara automatik.

Namun begitu perkara yang masih diperingkat draf cadangan ini harus ditolak oleh semua ibubapa penjaga yang mempunyai anak-anak dibangku sekolah dengan alasan-alasan yang berikut :-

1) Akan menyebabkan murid leka dengan telefon bimbit.

Sejauh mana kawalan mampu diberikan jika murid sekolah dibenarkan untuk membawa telefon bimbit ke dalam kawasan sekolah? Seorang guru dalam kelas, mampukah untuk memerhati perbuatan 30-40 anak murid pada satu masa? Jawapannya, adalah sangat sukar untuk mengawal mereka ini. Jadi, jika sukar dikawal ini akan menyebabkan mereka akan leka dengan telefon bimbit mereka.

2) Mengganggu proses pembelajaran murid.

Apabila telah leka dengan telefon bimbit, proses pembelajaran akan terganggu. Tumpuan murid terhadap pelajaran akan merosot. Minat terhadap telefon bimbit akan menjadi keutamaan. Maka, tunggulah nanti peratus keputusan peperiksaan akan jatuh dan terus jatuh.

3) Kos perbelanjaan murid sekolah meningkat.

Dengan adanya telefon bimbit, secara automatiknya perbelanjaan persekolahan mereka akan turut meningkat. Talian prabayar untuk mereka perlu sentiasa diisi. Beban ibubapa juga akan semakin bertambah kerana setiap anak yang bersekolah perlu dibekalkan dengan telefon bimbit. Jika tidak akan menyebabkan anak tersebut enggan ke sekolah kerana malu diejek dengan kawan-kawan lain yang mempunyai telefon bimbit.

4) Tiada keperluan untuk mereka menggunakannya diwaktu sekolah.

Seharusnya murid sekolah ini tidak diganggu pada masa pembelajaran mereka. Jika ada sesuatu kecemasan ibubapa penjaga bolehlah menghubungi pihak sekolah atau pun datang sendiri ke sekolah. Begitu juga jika ada sesuatu perkara menimpa murid tersebut, sudah menjadi tanggungan pihak sekolah untuk menyelesaikannya.

Tidak dinafikan bukan semua murid sekolah yang akan mengabaikan pelajarannya apabila membawa telefon bimbit ke sekolah. Ada juga yang memiliki telefon bimbit tetapi mampu mencapai keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Akan tetapi, berapa ramai pula yang tidak mendapat keputusan yang diharapkan walaupun mereka tiada telefon bimbit. Jika ada dan dibenarkan pula untuk dibawa ke sekolah, jangan kita bermimpilah untuk menjadikan murid yang ‘suam-suam’ ini mendapat keputusan yang boleh dibanggakan.

Adalah menjadi harapan saya secara peribadi untuk melihat Kementerian Pelajaran terus mengekalkan keputusan mereka untuk tidak membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah. Larangan ini sangat mustahak kerana tiada ada kepentingannya langsung untuk murid sekolah membawa telefon bimbit ke dalam kawasan sekolah. Silap haribulan, ada murid sekolah yang akan curi-curi untuk kerja sambilan kerana ingin mencari duit untuk memiliki telefon bimbit idaman mereka.

 

This entry was posted in Artikel. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge