Waktu Afdhal Untuk Bersahur

Assalamualaikum WBT,

Bersahur itu adalah sunnah. Walaupun tidak jatuh WAJIB, namun ianya sangat-sangat dituntut untuk dilakukan yakni Sunat Mu’akkad. Sebuah sabdaan Rasulullah SAW :

“Pembeza antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab adalah makan sahur”. (Riwayat Muslim).

Kita berpuasa kerana ingin mencari keredhaan Allah SWT dan kita mempertingkatkan seluruh amalan kita sepanjang Ramadhan ini, maka ikutilah sunnah Nabi SAW termasuk dalam bersahur. Besarnya rahmat Allah, sehingga seseorang yang bangun bersahur agar dia bertenaga esok harinya ketika berpuasa, dihitung sebagai ibadah yang diberi ganjaran.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W :

“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berkat adalah sesuatu perkara yang sangat penting dalam kehidupan ini. Insan mungkin memiliki berbagai perkara, tetapi jika ianya tidak diberkati Allah, maka segala kebaikan yang diharapkan akan hilang. Mencari keberkatan adalah suatu yang teramat penting dalam hidup ini. Dalam sahur itu ada keberkatan buat puasa yang bakal dilaksanakan dan kehidupan individu yang berpuasa secara umumnya. Semoga kita semua memperoleh keberkatan yang disebut itu.

Berdasarkan dari sebuah hadis, kita digalakkan bersahur dengan tamar. Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sebaik-baik sahur orang mukmin ialah tamar”. (Riwayat Abu Daud, Ibn Hibban dan al-Baihaqi, sanadnya sahih).

Maka dengan ini, kita bukan sahaja digalakkan berbuka puasa dengan tamar, kita juga digalakkan untuk bersahur dengan tamar. Maka, ambillah sekurang-kurangnya sebiji tamar semasa bersahur semoga dapat menambah keberkatan darinya.

Bersahur terlalu awal bukanlah sesuatu yang digalakkan sebaliknya disunnahkan melewatkannya. Maka, sesuatu yang tidak mengikut sunnah atau bukan yang diajar oleh Rasulullah SAW kita elaklah untuk melakukannya. Bilakah waktu afdhal untuk bersahur?

Kata Zaid bin Thabit: “Kami bersahur bersama Rasulullah, kemudian terus pergi untuk bersolat (Subuh)”. Anas bin Malik bertanya beliau: “Berapa lama antara sahur azan dan sahur tersebut?”. Jawab Zaid: “Kadar 50 ayat (al-Quran)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa lewatnya sahur Nabi SAW. Jika 50 ayat dibaca, kadarnya lebih kurang beberapa minit. Di tempoh itulah Nabi SAW menghentikan sahur untuk bersiap menuju solat.

Waktu sahur berlanjutan sehinggalah masuknya waktu subuh. Andaian bahawa puasa itu mesti bermula sepuluh minit sebelum subuh (waktu imsak) adalah tidak tepat. Hadis Zaid di atas tadi, bukan menunjukkan sahur itu wajib berhenti kadar 50 ayat sebelum azan, tetapi menunjukkan amalan Nabi SAW yang dilihat oleh Zaid. Buktinya, Saiditina Aisyah r.ha menyebut:

“Sesungguh Bilal azan pada waktu malam (azan pertama Subuh, sebelum masuk waktu). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Makan dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum azan, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan pada zaman Nabi SAW ada dua kali azan bagi waktu subuh. Ini seperti yang diamalkan di kebanyakan dunia Islam terutamanya Mekah dan Madinah. Azan pertama sebelum masuk waktu, ia dilaungkan oleh Bilah bin Rabah. Azan kedua, oleh sahabat Nabi SAW yang merupakan seorang buta, beliau Abdullah ibn Ummi Maktum. Maka Nabi SAW mengizinkan seseorang yang hendak berpuasa itu makan sehingga azan kedua, iaitu masuk waktu subuh yang sebenar, maka barulah berhenti dan bermula waktu berpuasa pada ketika itu.

Di dalam Al-Quran sendiri ada menjelaskan tentang hal ini dengan firman Allah SWT yang terjemahannya :

“Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam” (Surah al-Baqarah: 187).

Maka penentu bagi waktu terakhir sahur adalah masuknya waktu subuh yang sebenar, bukan sepuluh minit sebelum subuh (waktu imsak) yang banyak orang faham dengannya. Dalam riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Jangan kamu tersilap disebabkan azan Bilal, ataupun warna putih sehinggalah kelihatan waktu fajar (sebenar)”.

Maka berdasar al-Quran dan hadis-hadis di atas, juga pelbagai riwayat yang lain, maka waktu ‘imsak’ yang sebenarnya bermula apabila masuknya waktu subuh, bukan sepuluh minit sebelum masuk waktu subuh. Maka, apabila seseorang bangun bersahur dan didapati waktu subuh belum masuk sekalipun hanya tinggal beberapa minit, dia tetap boleh makan sahur sehinggalah masuknya waktu subuh.

Oleh itu beramallah dengan sunnah Rasulullah SAW. Bersahurlah pada waktu yang sepatutnya yakni yang terbaik setengah jam sebelum masuknya waktu subuh. Dimana pada waktu itu kita boleh makan dengan tenang dan boleh terus bersiap untuk menunaikan solat Subuh berjemaah dimasjid / surau.

This entry was posted in Agama, Ramadhan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge